Menyebarkan hadis palsu tanpa menerangkan tentang kepalsuannya adalah
merupakan satu dosa yang amat besar. Penipuan dan bersekongkol dengan
penipuan adalah dosa menurut ajaran Islam. Apatah lagi jika pembohongan
itu menggunakan nama Allah dan RasulNYA. Kesannya besar dan bahaya.
Mereka yang terpedaya dengan penipuan tersebut akan mengamalkan sesuatu
yang disangkakan bersumber dari Tuhan sedangkan hakikatnya tidak
demikian. Jika isi pembohongan itu sesuatu yang jelas bercanggah dengan
hakikat fakta, ataupun sesuatu yang ‘lekeh’ maka Tuhan ataupun RasulNya akan dipersalahkan. Mungkin ia akan menghilangkan keimanan manusia terhadap ajaran agama.
Justeru itu, Islam mengharamkan sama sekali perbuatan mengadakan hadis palsu seperti penegasan Nabi s.a.w dalam hadis mutawatir:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya
juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu
mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar. Menerusi sms, email, facebook,
twitter dan pelbagai lagi, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa
menyebarkan hadis palsu ini. Maka berhati-hatilah. Beberapa klik tanpa
penelitian boleh membawa anda menjadi pendusta yang menggunakan nama
Allah dan RasulNYa.
Mengkritik Matan
Pembaca internet juga terdedah kepada pelbagai sumber hadis palsu.
Saya mengajar di USM kursus Analisa Kritis Matan Hadis untuk para
pelajar ijazah tinggi. Saya rasa orang awam juga wajar dibekalkan
sedikit sebanyak pengetahuan tentang analisa matan hadis.
Secara umumnya, hadis palsu dapat diketahui melalui dua cara; pertama: kajian terhadap sanad (rangkaian perawi). Kedua; kajian terhadap matan atau kritik teks (textual criticism).
Untuk mengkaji para perawi adalah sesuatu yang bukan mudah melainkan
mereka yang terbabit langsung dalam bidang hadis. Apakah ada cara untuk
seseorang biasa mengagak sesuatu hadis itu mungkin palsu hanya dengan
membaca matan (teks) sahaja? Maka di sini datang peranan naqd al-matn (kritik teks) atau kajian teks tadi.
Pengetahuan ini amat penting kepada para pengguna internet hari ini,
kerana ia sekurang-kurang dapat menjadikan mereka berhati-hati apabila
melihat ataupun mendengar teks hadis yang pelbagai. Jika pun mereka
tidak dapat memutuskan kedudukan hadis-hadis tersebut,
sekurang-kurangnya mereka akan menangguhkan dulu sebelum mempercayainya
sehingga ternyata kedudukannya.
Ibn Qayyim
Ilmuan hadis yang terbilang iaitu Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah
(meninggal 751H) pernah ditanya apakah mungkin untuk mengetahui hadis
palsu tanpa melihat kepada sanadnya? Untuk menjawab persoalan yang besar
itu, beliau telah menghasilkan buku yang amat penting dalam sejarah
ilmu mengkritik teks hadis iaitu karya beliau Al-Manar Al-Munif fi al-Sahih wa al-Da’if.
Sesiapa yang berkemampuan membaca teks arab, saya mencadangkan mereka
membaca buku ini bersama komentar yang dibuat oleh al-Syeikh ‘Abd
al-Fattah Abu Ghuddah. Bagaimana pun, bagi yang tidak menguasai, saya
ingin memetik beberapa noktah menarik yang disebut oleh al-Imam Ibn
Qayyim al-Jauziyyah dalam buku tersebut bersama sedikit ulasan.
Antara yang disebut oleh Ibn Qayyim; hadis palsu itu antara cirinya mengandungi unsur mujazafah iaitu
berlebih-lebihan dalam penetapan pahala dan dosa. Perkara yang kecil
diletakkan hukuman yang terlalu besar, ataupun ganjaran yang terlalu
besar yang tidak munasabah. Contoh yang dibawa oleh Ibn Qayyim iaitu
hadis palsu: “Sesiapa yang mengucap Lailaha illaAllah; Allah
ciptakan kalimah itu menjadi seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah,
setiap lidah ada 70,000 bahasa yang beristighfar kepadanya”.(m/s 51.
Halab, Syria: Maktabah al-Matbu‘at al-Islamiyyah)
Lojik
Antara ciri lain bagi hadis palsu ialah bercanggah dengan fakta yang
nyata. Banyak contoh yang disebut oleh beliau; antaranya hadis palsu: “Terung itu ubat bagi segala penyakit”. Contoh lain: “Hendak
kamu memakan kacang dal kerana ia berkat dan melunakkan jantung hati.
Membanyak airmata dan ia disucikan oleh 70 nabi”. (m/s 52)
Antara lain beliau menyebut ciri hadis palsu itu ia kelihatan selekeh
dan boleh dipersendakan. Banyak contohnya, antara yang disebut; hadis
palsu “Jika beras itu lelaki nescaya dia seorang yang penyantun”. Contoh lain; “Hendaklah kamu memakan garam kerana ia ubat bagi 70 penyakit”. Contoh lain: “Tiada buah delima melainkan bijinya berasal dari syurga”. (m/s 55)
Contoh lain: “Sesiapa yang membela ayam jantan putih, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan dan sihir”. Kemudian Ibn Qayyim membuat kesimpulan tentang hadis ayam jantan: “Kesemua
hadis ayam jantan adalah dusta kecuali satu hadis iaitu “Sesiapa yang
mendengar kokokan ayam jantan hendaklah dia memohon kurniaan dari Allah
kerana ia melihat malaikat” (riwayat Bukhari dan Muslim). (m/s 56)
Gambar Hiasan
Dalam masyarakat melayu, terdapat juga mereka yang mempercayai
kelebihan ayam jantan putih. Kepercayaan itu mungkin berasal dari
hadis-hadis palsu yang seumpama ini.
Canggah Sumber Sahih
Ciri hadis palsu yang lain yang dinyatakan oleh Ibn Qayim apabila
sesuatu hadis itu bercanggah dengan hadis sahih yang lain secara nyata.
Ini seperti hadis-hadis palsu yang memuji orang yang bernama Muhammad
ataupun Ahmad bahawa sesiapa bernama seperti itu tidak akan masuk
neraka. Ini bercanggah dengan prinsip ajaran Nabi s.a.w yang menegas
bahawa neraka itu bukan dapat dielakkan dengan nama dan gelaran
sebaliknya dengan iman dan amalan soleh. (m/s 57)
Antara ciri palsu lain ialah hadis yang menyebut Nabi Khidir masih
hidup. Kesemua hadis yang membawa maksud tersebut adalah palsu dan
dusta. Kemudian al-Imam Ibn Qayyim mengemukan banyak hujah dari al-Quran
dan al-Sunnah yang membuktikan bahawa cerita Khidir masa hidup sehingga
kini adalah dusta dan palsu. (m/s 67-76)
Pelik
Contoh hadis palsu lain: “Pelangi di langit itu adalah tengkok ular yang berada di bawah Arsy”. Juga hadis palsu: “Jangan mandi air yang terdedah kepada matahari kerana ia menyebabkan sopak” (m/s 60)
Antara ciri hadis palsu ialah apabila terdapat dalamnya penetapan
tarikh tertentu seperti pada tahun sekian dan sekian, pada bulan sekian
dan sekian akan berlaku peristiwa itu dan ini. Ini ciri kepalsuan
sesuatu hadis. Ini seperti hadis bahawa akan berlaku gerhana dalam Bulan
Muharram kemudian berlaku peristiwa itu dan ini. (m/s 64).
Banyak hadis yang seperti ini tersebar dalam internet lalu dipercayai oleh mereka yang dangkal akal dan pengetahuan.
Antara ciri yang lain hadis yang seakan ucapan ahli perubatan, bukan ungkapan seorang nabi. Ini seperti hadis palsu: “Memakan ikan melemahkan jasad”. Contoh lain: “Ada seseorang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tiada anak. Nabi menyuruhnya memakan telur dan bawang”. Contoh lain: “Berikan isteri-isteri kamu memakan tamar semasa nifas”. (m/s 65). Banyak hadis yang seperti ini kadang-kala dibaca oleh mereka yang bergelar ‘ustaz dan ustazah’ yang tidak meneliti ilmu hadis ini. Para peniaga suka hadis- hadis seperti itu untuk melariskan peniagaan mereka.
Banyak lagi ciri-ciri yang disebut oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam
karya itu. Begitu banyak hadis-hadis palsu yang beliau sertakan sebagai
contoh untuk pembaca. Tulisan saya ini sekadar memberikan kesedaran
awal untuk mereka yang kurang memberikan perhatian dalam hal ini. Anda
boleh rujuk juga beberapa artikel saya tentang hadis palsu sebelum ini.
InshaAllah, selepas ini akan saya ikuti dengan beberapa coretan yang
lain untuk membantu memahami isu hadis palsu ini.